16 January 2012

JIKA dilihat pada penyakit yang ‘menyerang’ manusia hari ini bagaikan boleh ditafsirkan semuanya seolah-olah berebut-rebut untuk menduduki carta paling atas.

Ini tidak termasuk penyakit-penyakit kronik yang sudah pasti jumlahnya semakin meningkat setiap tahun.

Salah satunya ialah kencing manis atau diabetes yang merupakan antara penyakit paling menular di negara ini dan juga di seluruh dunia.

Diabetes adalah sejenis penyakit di mana kandungan gula di dalam darah lebih tinggi daripada normal.

Penyakit ini bukan sahaja mampu membawa maut malah ia juga sebenarnya berkeupayaan membawa pelbagai penyakit lain dan secara tidak langsung menjadikannya lebih berbahaya dan membimbangkan.

Kandungan glukos yang tinggi di dalam darah pada kadar jangka panjang akan menyebabkan kerosakan dan penyempitan pada saluran darah di dalam badan.

Ini akan mengundang pelbagai komplikasi seperti kerosakan buah pinggang, sakit jantung, darah tinggi, luka kaki dan buta kedua-dua mata.

Menurut Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretina Hospital Pusrawi, Dr. Barkeh Hanim Jumaat, penyempitan saluran darah pada saraf retina mata juga akan menyebabkan aliran darah yang terhad.

Katanya lagi, kesan jangka panjang akan menyebabkan kerosakan pada saraf retina mata dan kerosakan ini dikenali sebagai retinopati diabetik.

Retinopati diabetik dicirikan sebagai kerosakan pada lapisan retina yang melapisi bahagian dalam bebola mata akibat pembuluh darah yang tersumbat, bocor atau bertambah terlalu banyak.

Ini merupakan sebab utama buta kekal di kalangan pesakit diabetes.

“Ini adalah komplikasi yang berlaku apabila seorang penghidap diabetes tidak mengawal paras gula darah dengan baik dan jika tidak dirawat atau tidak dirawat dengan betul, ia akan membawa kepada kemerosotan penglihatan dan akhirnya pesakit akan menjadi buta.

“Tetapi selalunya, pesakit diabetes tidak sedar akan kesan penyakit tersebut kerana pada peringkat permulaan kerosakan, penglihatan pesakit masih lagi sempurna.

“Kerosakan saraf retina hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan mata oleh pakar mata.

“Oleh itu, amat penting bagi setiap pesakit diabetes mendapatkan pemeriksaan mata sebaik sahaja dikesan menghidap diabetes,” ujarnya pada ceramah kesihatan umum sempena Bulan Kesihatan di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, selanjutnya, pemeriksaan berkala akan dilakukan oleh pakar mata supaya kerosakan dapat dirawat segera ketika penglihatan masih lagi elok.

Ini merupakan cara terbaik untuk mencegah buta berkekalan akibat diabetes.

Hakikatnya menurut Dr. Barkeh, rakyat Malaysia harus mengetahui bahawa terdapat peningkatan mendadak bagi penyakit ini dan kebanyakannya menyerang orang muda.

Secara purata, seorang daripada tujuh rakyat di negara ini menghidap diabetes dan ini berlaku disebabkan gaya hidup harian.

Dan sehingga kini penyakit maut ini masih belum dapat disembuhkan sepenuhnya dan ia merupakan penyakit seumur hidup.

Apa yang boleh dilakukan oleh pesakit ialah kesedaran pada peringkat awal.

“Sebaik-baik sahaja dikesan menghidap diabetes, pesakit perlu memastikan pengawalan paras gula darah yang baik pada setiap masa, serta mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.

This article was published in www.utusan.com.my on 27 December 2011.