22 February 2012
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL Pertubuhan Diabetes Antarabangsa melaporkan sebanyak tujuh juta individu disahkan menghidap penyakit itu setiap tahun. Umpama wabak yang sedang tersebar luas dan pantas, diabetes sebenarnya menjadi ancaman kepada penduduk dunia. Penyakit itu terbahagi kepada dua jenis iaitu yang pertama akibat tubuh mengalami kekurangan insulin dan jenis yang kedua tubuh tidak berupaya memanfaatkan insulin yang dihasilkan dengan sewajarnya. Perunding Kesihatan Fizik dan Diabetologi, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Sharifah Sakinah Al-Yahya, berkata, insulin adalah sejenis hormon yang mengasingkan gula dari darah. Katanya, ungkapan yang mengatakan bahawa ‘anda adalah apa yang anda makan’ sebenarnya menerangkan tentang tahap kesihatan seseorang itu bergantung kepada apa yang dia makan. “Ini juga bermakna bahawa sesiapa yang telah disahkan menghidap penyakit diabetes boleh mengawal penyakitnya dengan pemakanan yang sesuai,” ujar Menurut Dr. Sharifah Sakinah, diabetes jenis yang pertama biasanya berpunca dari keturunan. Manakala jenis kedua disebabkan faktor luaran seperti gaya hidup yang kurang sihat dengan pemakanan yang tidak berkhasiat. Beliau yang memang yakin bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati berkata, ramai penduduk Malaysia masih tidak lagi sedar akan pentingnya hidup dengan sihat sebagai kunci utama mengelakkan penyakit ini. “Gaya hidup yang mereka pilih sebenarnya meletakkan mereka dalam bahaya,” ujar Dr. Sharifah Sakinah yang merujuk kepada punca penyakit diabetes jenis kedua. Dr. Sharifah Sakinah berkata, kebanyakan makanan yang dinikmati hari ini adalah tinggi kandungan gulanya. Manakala kandungan serat pula rendah. Ditambah pula dengan tabiat merokok, ia menambah lagi potensi untuk mendapat penyakit itu. This article was published in www.utusan.com.my on 24 January 2012. |