30 January 2012
SEMAKIN meningkat taraf hidup manusia, semakin banyak kerja yang memerlukan sedikit pergerakan dan semakin bertambah pilihan makanan, rupa-rupanya bukan berita baik. Ini kerana, semua itu ada kaitan langsung dengan penyebab semakin ramai yang mendapat penyakit diabetes. Sekali disahkan menghidapinya, pesakit diabetes atau kencing manis terpaksa hidup bertemankan ubat sepanjang hidup mereka untuk mengawal tahap glukosa dalam badan. “Malangnya ramai pesakit gagal mengambil ubat diabetes mengikut jadual malahan berhenti menerima rawatan kerana mereka tidak menyedari bahawa penyakit tersebut tidak akan sembuh secara sendirinya dan ia mampu membinasa badan pesakit secara senyap,” kata saintis daripada syarikat farmaseutikal Merck & Co. Inc. (Merck), Nancy Thornberry, ketika ditemui wakil media Asia Pasifik dalam kunjungan ke New Jersey, Amerika Syarikat, baru-baru ini. Rawatan untuk mengawal diabetes selalunya melibatkan lebih daripada sejenis ubat untuk memberi kesan yang optimum kepada pesakit. Tambah menyukarkan apabila terdapat komplikasi lain seperti kardiovaskular, penyakit mata dan tekanan darah tinggi, maka keadaan ini sudah tentu menambahkan beban ubat yang perlu diambil pesakit setiap hari. Justeru tidak menghairankan sekiranya meja makan atau peti sejuk di rumah pesakit diabetes dipenuhi pil pelbagai saiz, warna dan bentuk. Beban ubat yang terlalu tinggi selalunya menyebabkan ramai pesakit berputus asa selepas setahun dua mengambilnya. Bagi pesakit wanita pula, tidak kurang yang tidak selesa apabila pengambilan ubat-ubatan ini menimbulkan kesan sampingan seperti masalah berat badan. Akibatnya ramai yang berhenti separuh jalan dan menerima padah apabila keadaan diabetes mereka bertambah teruk sehingga membahayakan nyawa. Mengambil kira semua itu, para saintis daripada syarikat farmaseutikal berusaha untuk mengenal pasti cara rawatan yang lebih mudah tetapi pada masa sama berkesan menjamin keselamatan ubat diabetes yang diberikan kepada pesakit. Antaranya kajian dilakukan untuk memperkenalkan ubat diabetes oral yang diambil seminggu sekali berbanding setiap hari untuk mengawal tahap glukosa dalam badan. Thornberry berkata, cara rawatan seminggu sekali itu merupakan paradigma baru dalam rawatan diabetes yang akan memanfaatkan pesakit yang sebelum ini berdepan dengan masalah untuk mematuhi jadual pemakanan ubat yang ketat. ”Para saintis di Merck amat teruja dengan uji kaji yang dijalankan kerana sekiranya ubat ini diperkenalkan, ia akan menawarkan pilihan baru kepada pesakit diabetes. ”Kajian menunjukkan sehingga 50 peratus pesakit berdepan masalah untuk mengikut jadual pemakanan ubat selepas setahun dua, kami berharap pengenalan ubat seperti ini akan membantu pesakit menyelesaikan masalah ini,” katanya. Ubat baru itu dijadual memasuki uji kaji fasa ketiga pada tahun depan dan disasarkan untuk diluluskan di pasaran Amerika Syarikat dalam tempoh lima tahun sekiranya segalanya berjalan lancar. Beliau percaya pengambilan ubat diabetes seminggu sekali boleh menjadi realiti dengan mengekalkan kesan ubat dalam badan pesakit. ”Kajian menunjukkan dengan satu dos ia akan memberi kesan selama tujuh hari dan memberi kesan yang menyerupai hasil yang ditunjukkan dalam pil yang digunakan secara harian,” katanya. Thornberry pernah menerima Anugerah Discoverers sebagai pengiktirafan terhadap jasa beliau dalam penyelidikan farmaseutikal yang membawa kepada penghasilan ubat diabetes yang berupaya mencegah penurunan sejenis hormon semula jadi yang berperanan menghantar isyarat kepada pankreas bagi mengeluarkan insulin. Ia kini ubat oral terlaris yang digunakan secara meluas untuk merawat pesakit diabetes jenis dua di seluruh dunia. Buat masa ini, kira-kira 300 juta orang di dunia berdepan masalah diabetes dan angka itu berkemungkinan melonjak kepada 450 juta orang pada 2030. Mengulas lanjut pilihan rawatan yang ada di pasaran, Thornberry menasihati pesakit agar mengetahui beberapa perkara mengenai ubat diabetes yang mereka makan setiap hari. ”Selain isu keselamatan dan keberkesanan, pesakit perlu mengetahui kesan sampingan ubat diabetes yang diambil iaitu sama ada ia menyebabkan risiko atau kesan lain,” katanya. Thornberry berkata, walaupun pengambilan ubat adalah penting tetapi ia perlu disertai dengan pengamalan gaya hidup sihat termasuk cara pemakanan dan senaman untuk menangani penyakit diabetes secara lebih menyeluruh. This article was published in www.utusan.com.my on 18 December 2011. |